TENTANG KAMI

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang berguna kepada orang lain”

Hadith Nabi Muhammad SAW

 

 Perkataan “Al-I’tisam” daripada nama kami (Al-I’tisam Relief Program Association) merupakan perkaaan di dalam sebuah ayat daripada surah Al-Imran ayat 103;

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai”

Al-I’tisam Relief Program Association adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berasal dari Shah Alam Malaysia yang mempunyai misi untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan disamping memberi mereka sinar harapan tanpa mengira siapa dan di mana mereka berada.

Kebanyakan di antara kita tidak pernah merasai kesusahan hidup ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Berlainan dengan saudara-saudara kita yang berada di negara yang sedang bergolak seperti Gaza, Syria, Yemen dan Arakan, hidup mereka sangat sempit dan sering tidak mempunyai makanan yang mencukupi dan air yang bersih. Walaubagaimana susah pun keadaan hidup kita, kita masih lagi mempunyai rumah untuk berteduh. Manakala mereka tidak pun mempunyai tempat tinggal yang sesuai untuk didiami.

Bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul, keadaan mereka sangat sukar untuk digambarkan memandangkan kita tidak pernah berada di tempat mereka. Marilah kita sama-sama berganding bahu untuk membantu mereka.

BAGAIMANA KAMI BERMULA

Al-I’tisam bermula sebagai sebuah NGO pada Februari 2013 sebaik sahaja kumpulan Misi Kemanusiaan ke Gaza, Palestine pulang ke Malaysia. Pengalaman anggota kumpulan misi di Gaza telah meninggalkan impak yang besar dalam diri masing-masing. Perjalanan tersebut memberi kesedaran kepada kami akan betapa pentingnya peranan sebuah NGO Islam dalam membantu rakyat Palestine. NGO Al-I’tisam secara rasminya telah didaftarkan pada 1 May 2013. Dalam usia setahun jagung, Al-I’tisam telah berjaya meninggalkan jejak di beberapa buah negara seperti Kemboja, Palestine, Burma dan Bangladesh.

 

Kami berharap agar kami dapat meluaskan lagi rangkaian bantuan kami ke negara-negara yang sedang bergolak lain supaya mereka juga dapat merasai kebahagiaan dan menerima sinar harapan. Untuk merealisasikan impian ini, kerjasama dan pertolongan daripada semua adalah amat dialu-alukan.